»

Wednesday, December 31, 2008

analisis peperiksaan PMR

tahniah kepada para pelajar yang berjaya dalam PMR, bagi yang tidak berjaya, jangan berlengah.. masih ader masa lagi untuk SPM, SPM adalah penentu segala2 nya... percayalah....disini ada sedikit butiran tentang analisis peperiksaan PMR baru2 ini... harap maklum

sumber:http://eputra.com/analisa-keputusan-pmr-2008/

Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun 2008 yang diumumkan pada 30 Disember 2008, menyaksikan prestasi cemerlang gred A dalam mata pelajaran Matematik menunjukkan peningkatan ketara kepada 25.6 peratus berbanding purata 22.1 peratus dalam tempoh lima tahun sebelumnya, manakala 87.3 peratus melepasi tahap penguasaan minimum (gred ABCD).

Prestasi gred A bagi mata pelajaran Sains turut meningkat kepada 17.2 peratus daripada purata 16.4 peratus purata dari 2003 hingga 2007.

Seramai 472,060 calon menduduki peperiksaan itu tahun ini dengan 26,378 pelajar atau 5.96 peratus mendapat gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil, meningkat 0.83 peratus berbanding purata keputusan PMR dari 2005 hingga 2007.

Daripada jumlah itu, 3,396 pelajar mendapat 9A dalam semua mata pelajaran, 17,969 (8A) dan 5,013 (7A).

Ketika mengumumkan keputusan PMR pada sidang media di Putrajaya, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata pelajar yang menjawab soalan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris turut meningkat.

Seramai 235,510 pelajar atau 51.2 peratus menjawab soalan Sains dalam bahasa Inggeris, 82,627 pelajar (18 peratus) dalam dwi-bahasa (bahasa Melayu dan Inggeris), manakala 124,209 pelajar (26.9 peratus) menjawab soalan Matematik dalam bahasa Inggeris dan 245,887 pelajar (53.2 peratus) menggunakan kedua-dua bahasa.

Beliau berkata, pencapaian jurang perbezaan antara pelajar bandar dan luar bandar juga semakin mengecil, terutama bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi mata pelajaran Matematik pelajar luar bandar ialah 2.7 peratus berbanding 2.1 peratus di bandar, manakala GPMP subjek Sains ialah 0.3 peratus pelajar luar bandar dan -0.3 peratus pelajar di bandar.

“Kementerian bangga dengan keputusan ini, terutama bagi mata pelajaran bahasa Inggeris, sekali gus menunjukkan dasar PPSMI berjaya,” katanya.

Alimuddin berkata, prestasi semua mata pelajaran yang ditawarkan dalam PMR tahun ini juga meningkat, kecuali Geografi dan Bahasa Arab Komunikasi, tetapi Bahasa Inggeris menunjukkan peningkatan tertinggi, iaitu 3.6 peratus.

Katanya, 74.8 peratus pelajar yang mengambil bahasa Inggeris tahun ini berjaya melepasi tahap penguasaan minimum (gred ABCD) berbanding purata 71.2 peratus dari 2005 hingga 2007.

“Prestasi cemerlang gred A bagi mata pelajaran berkenaan meningkat kepada 16.4 peratus daripada 15.3 peratus purata tiga tahun sebelumnya, naik 1.2 peratus,” katanya.

Beliau berkata, semua 16 mata pelajaran turut menunjukkan prestasi cemerlang gred A melebihi 15 peratus dengan bahasa Melayu, bahasa Arab Komunikasi, bahasa Cina, bahasa Punjabi, bahasa Iban, Pendidikan Islam, Matematik, Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) Kemahiran Teknikal, Ekonomi Rumah Tangga serta Perdagangan dan Keusahawanan melebihi 20 peratus.

“GPMP pula menunjukkan enam mata pelajaran meningkat dengan ketara, iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Tamil, bahasa Punjabi, Pendidikan Islam dan Matematik,” katanya.

Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, 278,767 pelajar atau 63.3 peratus mendapat minimum gred D, menurun 0.36 peratus berbanding purata 63.3 peratus bagi keputusan tiga tahun lalu.

Jumlah pelajar yang tidak mencapai tahap penguasaan minimum juga berkurangan apabila hanya 440 pelajar atau 0.10 peratus mendapat gred E dalam semua mata pelajaran yang diambil, berbanding 559 pelajar (0.13 peratus) pada 2007, 524 pelajar (2006) dan 569 pelajar (2005).

“Secara keseluruhan keputusan PMR tahun ini lebih baik daripada tiga tahun sebelumnya. Ini selaras dengan peningkatan kedudukan negara dalam Global Monitoring Index yang menunjukkan pembangunan pendidikan kita meningkat daripada tempat ke-56 tahun lalu ke-45 daripada 129 negara tahun ini,” katanya.

0 comments: