»

Sunday, November 2, 2008

Laporan dari New York: Bas Mesra Pelanggan di Kotaraya New York

tulisan Nani Rahayu Mohd Yusof

TALI pinggang bukan saja dipakai ketika menaiki kereta tetapi semua pengguna kerusi roda di kotaraya New York yang menaiki bas juga perlu menggunakan tali pinggang bagi kerusi roda mereka. Perkhidmatan mesra pengguna itu bukan saja memberi pelbagai keistimewaan kepada mereka berkerusi roda malah warga tua, ibu mengandung dan mereka yang menyorong kereta bayi. Sebenarnya tiada masalah jika golongan ini mahu menggunakan perkhidmatan bas, kerana syarikat pengendali iaitu Metropolitan Transportation Authority (MTA) menyediakan pelbagai kemudahan mesra pengguna. Malah golongan berkenaan diberi keutamaan dan perhatian terutama pemandu bas ketika mereka mahu menaiki bas. Golongan itu juga sebenarnya tidak perlu bimbang atau ragu dengan perkhidmatan yang disediakan kerana MTA lebih mementingkan keselamatan penggunanya. Walaupun terpaksa meluangkan masa lebih kerana memberi perhatian kepada golongan itu, pemandu bas tidak pernah merungut jika terpaksa membantu golongan berkenaan naik dan turun bas dengan selamat. Ini adalah sebahagian kerja mereka dan perlu mengikuti kriteria dan peraturan pentadbiran kotaraya New York bagi memastikan keselamatan pengguna. Golongan kurang upaya yang berkerusi roda misalnya boleh menaiki bas kerana semua bas di kotaraya ini mempunyai pelantar automatik yang disediakan di bahagian hadapan dan belakang pintu bas bagi membolehkan mereka menaiki bas tanpa perlu memanjat tangga. Pemandu akan memastikan tangga hadapan dan belakang bas bertukar menjadi seperti pelantar apabila mereka berkerusi roda atau golongan ibu yang membawa kereta sorong mahu menaiki bas. Mereka juga mendapat keistimewaan tanpa perlu beratur. Pemandu juga perlu memastikan golongan itu mempunyai tempat duduk khas. Penumpang biasa yang duduk di kerusi khas perlu mengosongkannya bagi membolehkan kerusi khas dapat ditutup seakan dilipat untuk membolehkan mereka yang berkerusi roda dapat “parking” di tempat disediakan yang kemudiannya perlu dipakaikan tali pinggang pada kerusi roda mereka. Tempat duduk khas itu, biasanya terletak berhampiran pintu hadapan atau belakang bas berkenaan. Jika penumpang kurang upaya hendak turun dari bas, pemandu bas sekali lagi akan keluar untuk memastikan penumpang istimewa itu dapat turun menggunakan pelantar dengan selamat. Bahagian hadapan dan belakang pintu bas juga boleh diturunkan serendah-rendahnya tanpa perlu melangkah tinggi untuk naik dan turun daripada bas dan perkhidmatan ini selalunya disediakan kepada semua penumpang tetapi keutamaan adalah kepada golongan tua. Yang pasti penumpang tidak akan sesat kerana pengumuman destinasi hentian seterusnya akan dibuat pemandu bas pada setiap hentian. Kanak-kanak sekolah yang tinggal di Roosevelt Island, pulau kecil di bahagian timur Manhattan turut mendapat keistimewaan kerana dikecualikan daripada membayar tambang pada hari persekolahan. Bas MTA bertanggungjawab terhadap perkhidmatan “Limited” (berhenti di perhentian tertentu) atau “Unlimited” (berhenti di setiap hentian bas) dengan lebih 50 laluan di Bronx, Brooklyn, Queens manakala “40 bus routes ekspres” antara Manhattan ke Bronx, Brooklyn dan Queens. Mempunyai lebih 1,500 bas, menjadikan MTA, syarikat bas ke-11 terbesar di Amerika Syarikat dan Kanada, dengan kira-kira 500,000 penumpang setiap hari. Setiap perjalanan sama ada bas atau subway, tambang yang dikenakan ialah AS$2, di mana satu tiket boleh digunakan untuk dua perkhidmatan - bas dan subway, untuk tempoh masa dua jam.

0 comments: